BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Wednesday, December 2, 2009

Simposium Sains Bioperubatan UKM


Pada 21 mac 2009 yang lalu, Sekretriat Akademik dengan kerjasama Sekretriat Hal Ehwal Luar dan Alumni Kelab Sains Bioperubatan UKM telah menganjurkan satu program yang bercorak akademik iaitu Simposium Sains Bioperubatan UKM 2009 (SSB UKM). Program tersebut bertempat di UKM , Kampus Kuala Lumpur.

Antara objektif penganjuran program ini ialah untuk :

a) Melatih mahasiswa/i UKM untuk tampil lebih yakin dan berketrampilan dalam komunikasi.
b) Menggalakkan pembangunan sahsiah dan komunikasi secara berkesan.
c) Merapatkan hubungan di kalangan mahasiswa/I UKM dalam berorganisasi supaya kecemerlangan dalam akademik adalah seimbang dengan penglibatan mereka dengan aktiviti-aktiviti luar.

Tidak seperti tahun yang sebelumnya, simposium kali ini diadakan hanya satu hari sahaja dan melibatkan penyertaan peserta-peserta dari universiti-universiti lain juga seperti Universiti Putra Malaysia(UPM) , Universiti Malaya (UM) dan juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Seramai 7 orang peserta dari UM, 27 orang peserta dari UPM dan 38 orang peserta dari UIAM telah menghadiri simposium ini. Banyak pengisian yang menarik yang telah diadakan oleh organisasi simposium pada tahun ini. Diantaranya adalah pertandingan pembentangan tesis oleh plajar-pelajar tahun akhir Sains Bioperubatan UKM,sesi ceramah bersama pensyarah Jabatan Sains Bioperubatan iaitu Prof. Madya Dr.Rohi Ghazali dan perjumpaan Bioperubatan IPTA.


Pertandingan Pembentangan Tesis bermula tepat jam 08.30 pagi, memperlihatkan persaingan di antara 14 orang peserta pertandingan dengan tajuk tesis yang menarik dan boleh diketengahkan.Pertandingan ini disertai oleh pelajar dari UKM sahaja. Di antara tajuk-tajuk tesis yang dipertandingkan ialah ‘Kerentanan acanthamoeba spp yang dipencilkan daripada specimen klinikal dan persekitaran terhadap antimicrobial titisan mata’ , ‘Pengkulturan Sel Anulus Fibrosus 3 sel nucleus pulposus bagi pembentukan intervertebral disk (IVD) dengan kejuteraan tisu’ , “Pengesanan aktiviti agen antibakteria melalui ekstrak peptide dan ekstrak air Rafflesia Cantleyi Solm-Caubach dan banyak lagi.

Pertandingan ini tamat pada pukul 11.45 pagi. Majlis terus berlangsung dengan perasmian dan penyampaian hadiah oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu (FSKB), Prof.D r Norhani Mohidin. Pemenang bagi pertandingan pembentangan tesis ialah Shirley Tan Gee Hoon yang memenangi tempat pertama,manakala tempat kedua disandang oleh Manira binti Maarof dan tempat ketiga dimiliki oleh Saw Chee Wei.

Seusai tamat pertandingan, majlis perasmian berlangsung. Simposium Sains Bioperubatan UKM 2009 ini telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu iaitu Prof. Dr. Norhani Mohidin. Dalam ucapannya, beliau telah memberi semangat kepada mahasiswa/I untuk terus memperkembang kemahiran ‘soft skill’ dalam diri agar kebolehpasaran graduan Sains Bioperubatan adalah tinggi serta mampu bersaing dengan mana-mana jurusan sains dalam mendapat tempat dalam bidang masing-masing. Majlis diserikan dengan tayangan multimedia, penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Pembentangan Tesis, dan cenderamata kepada para juri pertandingan.


Program SSB UKM berhenti sementara untuk rehat,makan tengah hari dan solat Zuhur. Pada waktu ini, mahasiswa/I UPM dan UIA dibawa melawat sekitar UKM kampus KL oleh Exco Perhubungan SSB UKM.

Pada pukul 2.00 petang, program diteruskan lagi dengan mesyuarat Kelab Sains Bioperubatan yang dihadiri oleh wakil-wakil dari UKM,UPM,UM,dan UIAM. Tidak ketinggalan juga wakil Persatuan Sains Bioperubatan Se-Malaysia (PSBSM) iaitu Setiausaha Agung PSBSM,Cik Hafizah Ariff turut mengambil inisiatif untuk menghadiri mesyuarat tersebut. Mesyuarat tersebut berlangsung di Dewan Kuliah 4, UKM KL.

Mesyuarat dimulakan dengan pertunjukkan ‘slide’ organisasi Kelab Sains Bioperubatan UKM sesi 2009. Kemudian diteruskan dengan ucapan dari wakil Persatuan Sains Bioperubatan Malaysia, Mohd Jauhari, pelajar tahun Empat Sains Bioperubatan, UKM. Dalam ucapannya, beliau menyatakan graduan Sains Bioperubatan boleh mnceburi bidang klinikal, industri dan perkhidmatan. Beliau turut menegaskan bahawa hubungan erat antara universiti dan agensi luar memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha mengenengahkan Sains Bioperubatan secara amnya dan potensi pelajar tersebut secara khususnya. Banyak cara yang boleh digunakan untuk merapatkan hubungan dengan mengadakan kerjasama dalam merangka program dan juga boleh melibatkankan diri dalam program yang dianjurkan oleh agensi luar yang berkaitan. Beliau turut menyatakan kepentingan Persatuan Sains Bioperubatan Malaysia. Selain mengumpulkan Alumni Sains Bioperubatan , ia turut berperanan untuk menjaga kebajikan graduan Sains Bioperubatan dan juga memberi maklumat serta galakan kepada bakal graduan.

Perjumpaan tersebut turut diserikan dengan ucapan dari Setiausaha Agung Persatuan Sains Bioperubatan Malaysia, Cik Hafizah Ariff. Beliau turut menyatakan pandangan yang sama mengenai kepentingan Persatuan Sains Bioperubatan malah turut berbangga atas usaha yang dilakukan untuk mengumpulkan Kelab-kelab Sains Bioperubatan dari universiti-universiti yang berlainan dan duduk berbincang dalam merancang aktiviti bersama. Perjumpaan diteruskan dengan menjemput Presiden Kelab Bioperubatan universiti masing-masing untuk mengutarakan pendapat dan cadangan masing-masing dalam merancakkan lagi hubungan antara mahasiswa/I Bioperubatan dengan merancang aktiviti usahasama yang bakal dijalankan. Perkara yang dibincangkan adalah mengenai perancangan program yang melibatkan penglibatan semua universiti secara langsung. Banyak idea bernas dicadangkan, antaranya ialah Hari Kerjaya, Hari Intravarsiti, Simposium Sains Bioperubatan, Jambori , dan Kem Kepimpinan Bersama. Setelah pendapat demi pendapat diutarakan untuk setiap perancangan, kesemua wakil telah sepakat ingin mengadakan Simposium dan Hari Kerjaya Sains Bioperubatan sebagai langkah awal usahasama interuniversiti dan UPM telah dipilih menjadi tuan rumah untuk program tersebut pada tahun hadapan. Kemudian akan disusuli oleh UIAM,UM dan akhir sekali UKM sebagai tuan rumah.

Serentak pada masa yang sama, peserta-peserta yang tidak terlibat dengan Perjumpaan Bioperubatan IPTA pula dijemput untuk menghadiri satu ceramah yang bertajuk ‘Hala Tuju Graduan Sains Bioperubatan’ yang disampaikan oleh pensyarah dari Jabatan Sains Bioperubatan UKM iaitu PM Dr Ahmad Rohi Ghazali. Melihat kepada respon para peserta, ceramah tersebut sangat menarik dan banyak informasi boleh diperolehi menerusi sesi soal jawab di akhir ceramah. Program di akhiri dengan jamuan ringan dan sesi bergambar bersama peserta universiti lain.

Diharap dengan adanya program sebegini dapat mengeratkan hubungan di antara pelajar-pelajar Sains Bioperubatan walaupun berlainan tempat menuntut ilmu.Selain itu, melalui program ini dapat membuka mata para peserta mengenai Sains Bioperubatan dan masa depan Sains Bioperubatan. Semoga semua usaha-sama yang telah dirancang dan dibincangkan semasa mesyuarat menjadi kenyataan dan mampu menjadi satu wadah dalam usaha memartabatkan profesion Sains Bioperubatan serta membuka satu jalan ke arah kecemerlangan bersama. Terima kasih daun keladi diucapkan kepada semua peserta dari IPTA lain iaitu UM,UIAM, dan UPM . Kehadiran anda semua telah memeriahkan lagi program Simposium Sains Bioperubatan UKM 2009 ini. Tidak lupa juga kepada organisasi dan peserta dari UKM. Jasa anda amat dihargai. Semoga berjumpa lagi pada program yang akan datang, Simposium dan Hari Kerjaya Sains Bioperubatan.

Disediakan oleh,
Nur Nadia Mohd Sori
Exco Hal Ehwal Luar dan Alumni KSB UKM